Tinta Penggawa

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera.

moghni

Bagi pihak pengurusan, saya dengan berbesar hati mengucapkan selamat datang ke Portal Rasmi Desasiswa Bakti Permai, Universiti Sains Malaysia. Saya berharap mudah-mudahan platfom ini akan menjadi sumber maklumat kepada penghuni Desasiswa Bakti Permai khususnya dan warga kampus serta juga masyarakat luar amnya. Diharapkan juga portal ini dapat menjadi wadah komunikasi antara kita, sebagai sebuah keluarga yang besar.

Untuk warga Desasiswa Bakti Permai, saya mengalu-alukan kehadiran saudara saudari di Desasiswa yang bertuah ini. Desasiswa kita ialah sebuah desasiswa yang menjadi pilihan kebanyakan pelajar kerana kedudukannya yang strategik; berhampiran dengan dewan-dewan kuliah, perpustakaan, Pusat Sejahtera dan Masjid Al Malik Khalid.

Kita juga mempunyai 11 buah kafetaria yang menjual pelbagai minuman dan makanan yang lazat dengan harga yang berpatutan. Tidak kira dari negeri atau negara mana saja saudara saudari berasal, kami pastikan saudara saudari dapat menikmati masakan seperti di rumah, sesuai dengan semangat desasiswa kita iaitu “Desasiswaku di Perantauan”. Dengan kemudahan kafeteria yang ada, ditambah pula dengan berjenis-jenis hidangan yang membuka selera, maka tidak hairanlah desasiswa kita menjadi tarikan dan pilihan warga kampus terutama pelajar, staf serta sebilangan masyarakat luar untuk datang menjamu selera. Waktu operasi kafetaria kita adalah dari jam 7.00 pagi hingga 10.00 malam. Selamat menjamu selera!

Tetamu di desasiswa kita terdiri daripada pelajar tempatan dan juga pelajar ijazah tinggi dari luar negara yang datang dari pelbagai negara yang berbeza kebudayaannya. Kepelbagaian budaya ini akan memberikan warna dan pengalaman yang berbeza kepada saudara saudari dalam meniti kehidupan sebagai pelajar. Pergaulan dengan komuniti yang mempunyai latar belakang budaya berbeza akan meluaskan pandangan saudara saudari tentang dunia dan saya percaya ini juga salah satu matlamat kita berada di universiti. Saya berharap saudara saudari akan menggunakan peluang ini dengan sepenuhnya untuk berinteraksi antara satu sama lain tanpa mengira bangsa, agama atau negara asal.

Pengurusan Desasiswa Bakti Permai sedaya upaya akan cuba menyediakan kemudahan yang dapat memenuhi keperluan penghuninya agar saudara saudari dapat tinggal dengan selesa. Selain itu, saya juga ingin menasihati saudara saudari supaya menyertai dan melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti yang dianjurkan oleh Majlis Penghuni Desasiswa Bakti Permai amnya dan universiti khasnya seperti Debat Piala Naib Canselor, Temasya Olahraga Tahunan, Sukan Antara Desasiswa, Masih Ada Yang Sayang dan program-program lain yang dianjurkan.

Nikmatilah penginapan saudara saudari di sini sepenuhnya. Semoga apabila saudara saudari pulang nanti dengan memori yang indah.

Akhir kata saya ucapkan selamat maju jaya dan sentiasalah mendapatkan maklumat terkini melalui portal yang telah disediakan ini.

Terima kasih dan salam hormat.

Tuan Haji Ahmad Moghni Salbani