Latar Belakang

Sejarah awal Desasiswa Bakti (1975-1999)
Desasiswa Bakti ditubuhkan pada Sidang Akademik 1975/1976. Pada mulanya desasiswa ini dikenali sebagai Desasiswa B, kemudiannya barulah diberikan nama Desasiswa Bakti setelah mengambil kira semua desasiswa yang bermula dengan abjad seperti ‘A’ untuk ‘Desasiswa Aman’, ‘C’ untuk ‘Desasiswa Cahaya’ dan seterusnya. Berikut dengan beberapa perubahan serta penstrukturan semula dalam pentadbiran desasiswa, Desasiswa Bakti  telah bertukar nama sebanyak dua kali. Pada mulanya desasiswa ini bertukar nama kepada Desasiswa Fajar Bakti sehingga tahun 2004 dan kemudiannya bertukar nama pula kepada Desasiswa Bakti Permai sehingga sekarang.

Desasiswa Fajar Bakti (1999-2004)

Pada tahun 1999, penstrukturan semula pengurusan desasiswa telah dilakukan iaitu dengan menggabungkan beberapa desasiswa di bawah satu pentadbiran. Pada 12 Julai 1999, blok Desasiswa Fajar iaitu blok H06 dan blok H07 telah digabungkan dengan Desasiswa Bakti, lalu nama desasiswa ini telah ditukar menjadi Desasiswa Fajar Bakti.

Desasiswa Bakti Permai (2004-sekarang)

Akan tetapi, pada bulan Mei 2004, penstrukturan semula pengurusan desasiswa dilakukan sekali lagi. Kali ini blok H06 dan blok H07 diserahkan pula kepada Desasiswa Harapan manakala Desasiswa Permai iaitu blok H13 (yang juga dikenali sebagai Hilton), blok H16 dan blok H17 diserahkan kepada Desasiswa Fajar Bakti. Dengan perubahan ini, maka nama desasiswa ini telah ditukar menjadi Desasiswa Bakti Permai. Proses naik taraf blok H16 dan H17 telah dilakukan pada tahun 2006. Dalam proses naik taraf ini, blok H16 dan blok H17 telah diubah suai daripada bilik penginapan dua orang kepada bilik penginapan perseorangan dan dijadikan tempat penginapan untuk pelajar ijazah tinggi yang kian bertambah di dalam kampus dari tahun ke tahun.

Selaras dengan pengambilan pelajar ijazah tinggi yang semakin ramai, blok Fajar H06 dan H07 diserahkan semula di bawah tadbir urus Desasiswa Bakti Permai pada tahun 2009. Selepas penyerahannya, blok-blok ini juga dinaik taraf daripada bilik penginapan dua orang kepada bilik penginapan perseorangan dan dijadikan tempat penginapan untuk pelajar ijazah tinggi juga. Perubahan ini diikuti pula dengan penyerahan Rumah Antarabangsa (H51) yang sebelum ini diletakkan di bawah tadbir urus Unit Perumahan dan Penginapan Universiti (UPPU) kepada Desasiswa Bakti Permai pada tahun 2010. Blok H51 dapat menempatkan 211 pelajar ijazah tinggi yang terdiri daripada pelajar tempatan dan antarabangsa.

Rumah keluarga pelajar ijazah tinggi, blok K18 dan K19  yang dahulunya juga di bawah tadbir urus UPPU telah diserahkan kepada Desasiswa Bakti Permai pada 4 Januari 2010. Blok K18 telah dinaik taraf pada 16 Jun 2010 dan K19 telah dinaik taraf pada 23 September 2009 untuk memberikan penginapan yang lebih kondusif kepada pelajar ijazah tinggi yang berkeluarga.
Kini, Desasiswa Bakti Permai berdiri teguh dengan mempunyai tujuh blok penginapan pelajar ijazah tinggi, dua blok penginapan pelajar ijazah pertama dan dua blok penginapan rumah keluarga pelajar ijazah tinggi.  Sehubungan itu,  Desasiswa Bakti Permai kini lebih dikenali sebagai desasiswa pelajar ijazah tinggi kerana bilangan pelajar ijazah tinggi yang menginap di sini hampir mencecah 1000 orang manakala pelajar ijazah pertama berjumlah 334 orang sahaja. Desasiswa ini juga dikenali ramai kerana mempunyai bilangan kefetaria yang banyak dan menjual pelbagai juadah yang lazat.
Desasiswa Bakti Permai, Desasiswaku di Perantauan!